Cara Mengukur Keelokan Islam Pada Seseorang

Sabda nabi SAW yang bermaksud; 
“Antara keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tiada kena mengena dengannya.”
Zaman sekarang ini memang patut kita hayati betul-betul hadis nabi di atas. Sebabnya kalau diperhatikan terutama sekali di facebook dan semua media2 sosial yang ada sekarang, orang ramai suka sangat beri komen dan pendapat yang tidak penting, malahan ada sesetengahnya menyakit kan hati dan perasaan orang lain tanpa dia sedari atau tidak.

Seperti contoh, jika seorang selebriti di Malaysia memuat naik gambarnya dengan isteri dan madunya. (jika beristeri dua), maka netizen sekalian akan memenuhkan ruang2 komen dengan komen negatif dan positif. Ada juga yang menabur fitnah sesuka hati tanpa memikirkan perasaan orang lain.

Untuk apa? Untuk apa kita sibuk dengan urusan orang lain yang tiada kena mengena dengan kita walhal urusan kita di dunia ini pun belum selesai. Berapa banyak amal yang akan kita bawa kelak untuk hidup kita di akhirat nanti? Cukup kah sekadar sembahyang lima waktu yang kita tidak tahu adakah ianya 100% diterima Allah SWT atau tidak. Atau puasa di bulan ramadhan atau mungkin juga zakat yang dihulurkan tanpa mengerti tujuan sebenarnya? 

Keelokan Islam sebenarnya membawa 2 maksud.

Pertama: Sahnya Islam seseorang, lawannya ialah batal Islam yang membawa kepada kekufuran, syirik atau nifaq. Ada beberapa hadis membawa makna seperti ini.
Kedua: Sempurnanya iltizam seseorang terhadap Islam, meningkat dalam martabat agama seperti sampai ke maqam ihsan. Inilah yang dimaksudkan dalam hadis ini, kesempurnaan Islam dan bukannya menafikan keislaman seseorang. Maka jika seseorang melakukan perkara yang tiada kaitan dengannya tidaklah sampai melucutkan Islam dari dirinya tetapi menjejaskan kesempurnaan imannya, mengurangkan keelokan Islamnya dan menghalangnya daripada sampai ke martabat ihsan.
Maka, apa dia perkara yang tiada kaitan dengan kita?
Sabda nabi, apa yang tiada kaitan dengannya bermaksud perkara yang tidak penting untuknya, tidak memberi faedah di dunia dan akhirat. 
Manakala,
Perkara yang berkaitan dengan seseorang adalah apa yang dia perlu beri perhatian, menjadi matlamat dan tuntutan hidupnya.

Dua jenis perkara yang tiada kaitan
Jenis Pertama: Perkara yang asalnya tiada kena mengena dengan kita seperti hal ehwal orang lain, cara hidup mereka, pendapatan mereka dan perincian masalah ahli keluarga mereka. Juga sibuk dengan kisah dan peristiwa yang tiada matlamat yang jelas.
Perbuatan suka jaga tepi kain orang lain, mencari keaibannya dan kesalahnnya dan menyebarkannya kepada orang lain adalah sangat tidak disukai Allah.
Allah telah berfirman,janganlah kamu mengintip-intip (al-Hujurat:12) dan sabda nabi, 
Wahai sekalian manusia yang telah Islam dengan lidahnya tetapi iman belum menusuk hati mereka. janganlah kamu menyakiti orang-orang Islam, janganlah kamu mengaibkan mereka, jangan mencari-cari aib mereka. Sesiapa mencari-cari aib saudara seIslamnya, Allah akan mencari aibnya. Sesiapa yang Allah cari aibnya, akan dimalukan walaupun dia di dalam perut kenderaannya! (Tirmizi)
Antara contoh menyibukkan diri dengan perkara yang tiada kaitan ialah membahagikan manusia kepada kelompok, kumpulan dan jamaah.. dan terlalu mementingkan untuk menjatuhkan satu hukuman ke atas orang lain tanpa sebarang perincian, apatah lagi ia bercampur baur dengan umpatan, penghinaan, mencari-cari kelemahan dan meragui niat orang lain. Ditambah pula dengan prasangka yang menyalakan api fitnah dan menyemarakkan perpecahan dalam kalangan muslimin.
Antara urusan orang lain yang tidak perlu ditanya ialah ibadat mereka dengan Allah yang disembunyikan, kerana boleh membawa kepada riya’, berdusta, menghina, meletihkannya mencari helah.. atau sekurang-kurangnya soalan seperti ini boleh mangakibatkan ibadatnya terserlah sehingga kuranglah ganjaran berbeza ibadat secara sembunyi.
Begitu juga jangan bertanya tentang maksiat mereka dan perkara yang mereka malu untuk sebut, kerana menyembunyikan maksiat adalah murni sedangkan memperlihatkan maksiat adalah maksiat yang menjauhkan dari kesejahteraan.
Termasuk dalam tiada kaitan juga ialah bertanyakan kebaikan yang mereka tidak suka zahirkan kepada orang ramai mungkin bimbangkan hasad dengki contohnya. Seperti kecerdikan anak-anaknya atau perincian masalah yang mereka hadapi tetapi tidak mahu diketahui orang lain.

Jenis Kedua: Perkara yang memang pada asalnya berkaitan keperluan manusia hidup seperti makanan, mimpi, perkahwinan, percakapan, pergaulan, penglihatan dan semua pergerakan. Adapun yang tiada kaitan ialah melebihi kadar yang diperlukan dalam perkara disebutkan tadi atau dikenali sebagai berlebih-lebihan dalam perkara harus.
Antara contohnya ialah menceritakan tentang perempuan dan hubungan jenis yang tidak mendatangkan faedah dan tidak diperlukan. Ini termasuk dalam perkara sia-sia yang diperintah menjauhinya.
Juga terlalu mendalami nasab keturunan lebih dari keperluan mengetahui hubungan kekeluargaan. Apatah lagi jika berhubung kait dengan nenek moyang yang bukan Islam sehingga membawa kepada berbangga-bangga.
Juga terlalu merasa rugi kerana tidak mendapat habuan duniawi yang termasuk dalam kategori berdukacita yang nabi pohon perlindungan daripadanya. Juga, meninjau-ninjau komen dan kritikan manusia ke atasnya sehingga melalaikannya dari risalah sebenar. Sedangkan dia tidak akan dipertanggung jawabkan terhadap kalam manusia!
Maka, mari kita sama-sama audit diri kita sebelum kita sibuk audit orang lain. Apa-apa pun perkara yang kita nak buat, kita kena fikir apa manfaatnya pada dunia dan akhirat kita. Jika ia tidak memberi manfaat pada akhirat, lebih baik kita berdiam diri dan tinggalkan sahaja perkara yang tidak disukai Allah itu.

Sekian

Rujukan: DISINI

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Peperangan Uhud di Zaman Rasulullah SAW

Be Strong To Let Go