Peperangan Uhud di Zaman Rasulullah SAW


Dalam peperangan Uhud, jumlah kaum musyrikin adalah seramai 3000 orang manakala orang Islam hanya 300 orang setelah pemimpin orang-orang munafik, Abdullah bin Saba' mengundurkan diri dan pasukan beliau daripada menyertai peperangan tersebut.

Pasukan tentera Islam telah diletakkan di gunung dan Rasulullah saw membuat perancangan yang jitu untuk memenangi pertempuran di mana beliau membahagikan pasukan pemanah di puncak gunung untuk melindungi mereka dari serangan dari arah belakang. Rasulullah saw memberi peringatan kepada pasukan panah itu agar mereka tetap dan tidak berganjak dari tempatnya samada pasukan tentera Islam menang mahupun kalah. Yakni bahawa pasukan pemanah tidak boleh turun dari gunung dan mesti berusaha untuk melindungi tentera-tentera Islam di barisan hadapan. Rasulullah saw berkata kepada mereka. "Lindungilah kami dari belakang. Jika kamu melihat kami sedang bertempur, maka kamu tidak usah turun darinya dan tidak usah menolong kami, dan jika kalian melihat kami memperoleh kemenangan dan mengambil harta rampasan perang, maka kamu tidak boleh ikut serta bersama kami."

Setelah membuat keputusan tersebut, Rasulullah saw kembali ke pasukan yang lain, lalu beliau membuat suatu rancangan untuk menyerang. Dan dimulailah peperangan kemudian pasukan Islam mendorong pasukan musyrik laksana angin yang kencang yang memporak-perandakan ribuan kaum musyrik. Pada tahap pertama pasukan Islam nampak menguasai medan perang dan berjaya menumbangkan kaum musyrik sehingga pasukan Mekah nampak berputus asa meskipun tentera mereka adalah lebih ramai dan memiliki kekuatan persenjataan yang lengkap, pasukan Mekah terus dikejutkan dengan kehebatan pasukan Muslim yang dapat memundurkan tentera mereka hingga mereka membayangkan bahawa mereka tidak dapat memenangi peperangan atau dapat bertahan di hadapan pasukan tentera Islam.

Debu-debu peperangan mula berterbangan disertai tanda-tanda kekalahan pasukan Mekah iaitu golongan musyrikin. Sementara itu, para pemanah yang diletakkan Rasulullah saw di suatu tempat yang strategik telah berfikir-fikir untuk mengambil harta rampasan perang yang ditinggalkan pasukan Mekah. Rasulullah saw telah mengingatkan mereka agar jangan meninggalkan tempat mereka walau apa pun yang terjadi tetapi pasukan pemanah itu tidak mengikut arahan Nabi saw setelah mereka membayangkan bahawa peperangan telah selesai dan keuntungan akan diperoleh pasukan Madinah yang beriman.

Pasukan pemanah juga berpendapat bahawa Allah SWT akan menutup kesalahan mereka dan akan melindungi mereka sehingga mereka berjaya mengambil harta rampasan dan ganimah. Sungguh, keikhlasan telah tercabut dari hati sebahagian tentera-tentera Islam. Tidak lama setelah pasukan pemanah turun merebut harta rampasan, terjadilah perubahan yang drastik pada peperangan. Pemimpin pasukan berkuda musyrik Mekah dalam peperangan Uhud iaitu Khalid bin Walid yang kemudian ia menjadi tokoh Muslim adalah seorang yang sangat genius dalam peperangan. Dia melihat pasukan pemanah lari dari tempat mereka, maka ia melihat peluang yang terbuka di tengah-tengah kaum Muslim, sehingga ia segera memutarkan kudanya dan disertai pasukan yang mengikutinya. Kemudian ia menyerang kaum Muslim dari belakang. Serangan yang dilakukan Khalid itu sangat cepat dan sangat mengejutkan. Mereka yang tadinya lari, kini mereka berpatah balik dan justeru membuat serangan kembali.

Pasukan Muslim dikepung dari dua arah oleh pasukan berkuda: satu dari belakang dan yang lain dari depan. Kemudian ramailah yang terkorban dari pasukan Muhammad bin Abdillah. Banyak di antara mereka yang mati sebagai syahid saat mempertahankan dan melindungi Rasulullah saw, bahkan Nabi sendiri pun terluka hidungnya dan patah giginya serta kepala beliau yang mulia terluka sehingga berdarah.

Kemudian tersebarlah isu bahawa Muhammad saw telah meninggal. Ketika mendengar itu, kaum Muslim sangat terpukul dan sangat sedih sehingga kaum Muslim pun berpecah-pecah. Sebahagian mereka kembali ke Mekah dan sebahagian yang lain lari ke atas gunung dan mereka tetap menjaga Nabi saw yang mulia. Ketika mendengar kematian Nabi, Anas bin Nadhir berkata kepada kaumnya: "Bangkitlah kalian dan matilah seperti kematiannya. Apa yang kalian lakukan setelah kalian hidup sesudahnya."

Pasukan tentera Islam tetap bertahan dan melakukan peperangan, lalu tekanan kaum musyrik Mekah semakin berat kepada Nabi saw dan para sahabatnya. Kemudian terjadilah kejadian yang paling sulit dalam sejarah umat Islam. Nabi saw berteriak saat melihat kaum musyrik menekannya dan berusaha membunuhnya: "Barang siapa yang dapat mengusir mereka dariku, maka baginya syurga."

Mendengar perkataan itu, kaum Muslim segera mengepung Nabi saw dan melindungi beliau sehingga banyak dari mereka berguguran sebagai syahid. Bahkan sahabat-sahabat Abu Juanah melindungi Nabi saw sehinggakan belakang-belakang mereka dipenuhi dengan anak-anak panah. Ia bagaikan baju besi yang dipakai kepada Nabi saw dan ia tetap kukuh melindungi Nabi saw. Kemudian berubahlah keadaan kerana keteguhan dan keberanian yang diperlihatkan oleh kaum Muslim. Pasukan Mekah merasa puas dan mereka memilih untuk menarik diri. Saat itu orang-orang Quraisy sama sahaja penderitaanye dengan apa yang dialami oleh tentera-tentera Islam sendiri.

Setelah peperangan yang dahsyat itu, kaum musyrik Mekah menarik diri setelah mereka berjaya membunuh beberapa orang Muslim, bahkan mereka berjaya melukakan pemimpin pasukan iaitu Nabi saw. Semua itu terjadi kerana satu kesalahan yang nyata iaitu kesalahan yang terletak pada penentangan dan pembangkangan para pemanah terhadap perintah Rasul saw dan usaha mereka untuk meninggalkan tempat mereka.

Ketika sebahagian dari sahabat kehilangan pengorbanan dan kehilangan sikap ikhlas dalam hati mereka, maka kesalahan tersebut harus dibayar oleh tentera yang paling berani dan mulia di antara mereka iaitu Nabi saw. Langit tidak ikut campur untuk menyelamatkan pasukan Islam itu. Kesalahan kaum Muslim itu harus dibayar oleh Rasul saw di mana wajah beliau pun terluka bahkan keluar darah yang cukup deras dari luka beliau sehingga setiap kali dituangkan air di atas luka itu, maka darah pun semakin deras mengucur. Darah itu tidak berhenti kecuali setelah dibakarkan potongan tembikar lalu dilekatkan di atasnya.

Luka beliau bukan hanya bersifat fizikal tetapi lebih banyak melukakan hati beliau. Ini terjadi apabila mendengar bahawa sahabatnya Hamzah gugur sebagai syahid dan tidak cukup dengan itu, bahkan isteri Abu Sofyan iaitu Hindun membelah perutnya dan mengeluarkan jantungnya serta mengunyahnya dengan mulutnya. Semua itu semakin menambah kesedihan Nabi.

Kaum Quraisy menguasai pasukan Muslim dan mereka memperlakukan dan menekan kaum Muslim secara aniaya. Seandainya bukan kerana rahmat Allah SWT nescaya kaum Muslim akan mengalami kekalahan yang lebih teruk. Kemudian turunlah dalam Al-Qur'an al-Karim ayat-ayat yang mendidik kaum Muslim agar mereka benar-benar ikhlas dan memahamkan mereka bahawa kekalahan mereka sebagai akibat dari adanya pasukan di antara mereka yang menginginkan dunia meskipun di antara mereka ada sebahagian yang menginginkan akhirat. Jika terjadi demikian, maka tidak ada jalan untuk memperoleh kemenangan. Ini bukanlah hal yang diinginkan oleh pasukan Muslim, yang diharapkan adalah hendaklah semua pasukan tertuju untuk mencapai redha Allah SWT dan hanya mengharapkan akhirat. Jika demikian halnya, maka Allah SWT akan memberi mereka dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman dan menceritakan peperangan Uhud dalam surah Ali 'Imran:

"Di antaramu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan Allah mempunyai kurnia (yang dilimpahkan) atas orang-orang yang beriman." (QS. Ali 'Imran:: 152)

Allah SWT memaafkan hal itu. Orang-orang Muslim kini menghitung jumlah korban mereka dan mengubati orang-orang yang terluka. Rasulullah saw bertanya tentang sahabatnya Hamzah, dan ketika beliau mendapatinya di tengah-tengah sahabat yang gugur, dan orang-orang kafir telah merosak jasadnya, maka beliau berkata dalam keadaan menangis: "Tidak akan ada orang yang akan tertimpa sepertimu selama- lamanya."

Kemudian Nabi saw berdiri dan memuji Allah SWT lalu beliau memerintahkan untuk mengembalikan orang-orang yang terbunuh dari kaum Muslim ke tempat asal mereka di mana mereka terbunuh. Saat itu keluarga mereka telah membawanya ke kuburan kemudian Nabi saw mengumpulkan kedua orang laki-laki dari pahlawan-pahlawan Uhud dalam satu pakaian dan beliau bertanya siapa di antara keduanya yang paling banyak mengambil manfaat dari Al-Qur'an. Jika diisyaratkan kepada salah satunya, maka beliau akan mendahulukannya untuk dimasukkan dalam liang lahad.

Rasulullah saw juga memerintahkan agar mereka dikebumikan dengan darah mereka dan beliau pun tidak mensolati mereka, serta tidak memandikan mereka. Allah SWT ingin memperlihatkan bagaimana mereka dibangkitkan pada hari kiamat lalu beliau bersabda: "Tiada seorang pun yang terluka di jalan Allah SWT kecuali Allah SWT membangkitkannya di hari kiamat dalam keadaan di mana Iukanya akan memancutkan darah. Warna itu adalah warna darah dan baunya seperti kasturi."

Bukanlah penderitaan yang dalam yang merupakan pelajaran yang harus dimengerti kaum Muslim dari peperangan Uhud sebagai akibat dari penentangan mereka dari perintah Rasul saw dan ketidaktaatan mereka kepadanya, tetapi wahyu juga menurunkan berbagai pelajaran yang lain yang dapat dimanfaatkan. Pengajaran yang terpenting setelah pengajaran kesetiaan adalah penegasan tentang pentingnya bersatu hati. Peribadi Rasulullah saw bukanlah markas yang di situ kaum Muslim berkumpul yang ketika peribadi Rasulullah saw yang mulia pergi kerana satu dan lain hal, maka orang-orang Muslim akan pergi dan meninggalkan beliau. Tidak seharusnya peribadi Rasul saw menjadi markas atau sentral tetapi yang menjadi sentral dari semuanya adalah pemikiran beliau. Itulah yang paling penting.

Demikianlah bahawa Al-Qur'an al-Karim mencela orang-orang yang meletakkan senjatanya ketika tersebar isu terbunuhnya Nabi saw. Islam tidak akan mencapai puncaknya ketika kaum Muslim berkumpul di sisi Rasulullah saw saat beliau masih hidup namun ketika beliau terbunuh atau mati, maka mereka murtad di mana mereka membuang senjatanya dan pergi mengurusi diri mereka sendiri. Orang-orang Islam adalah orang- orang yang mengikuti prinsip bukan mengikuti peribadi. Muhammad bin Abdillah memang seorang pemimpin manusia dan Imam para rasul dan penutup para nabi, dan sebagai makhluk Allah SWT yang paling mulia, namun ini semua tidak membenarkan bahawa seorang Muslim diperbolehkan untuk meletakkan senjatanya ketika Rasul saw wafat atau terbunuh. Hendaklah seorang Muslim memanggul senjatanya dan tidak membuang dari tangannya kecuali dalam dua keadaan: pertama ketika ia telah memperoleh kemenangan dan kedua ketika ia telah mati.

Nas Al-Qur'an menjelaskan hubungan kaum Muslim dengan akidah Islam, bukan dengan peribadi sang Rasul saw. Allah SWT berfirman:

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maha ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (QS. Ali 'Imran: 144)

Demikianlah bahawa peperangan Uhud telah membawa kesan yang luar biasa terhadap kaum Muslim, utamanya terhadap Nabi saw. Orang-orang yang terbunuh di perang Uhud adalah sahabat-sahabat yang paling mulia dan paling banyak imannya. Mereka adalah pilihan dari orang-orang Muslim yang pertama; mereka memikul beban dakwah di saat-saat yang sulit bahkan mereka harus berhadapan dan memusuhi kerabat mereka dan teman-teman mereka; mereka menjadi terasing saat menyatakan keislaman mereka sebelum hijrah dan sesudahnya; mereka telah menginfakkan harta; mereka berjuang di jalan Allah SWT; mereka telah bersabar dalam menanggung berbagai macam penderitaan, dan ketika datang saat yang paling berbahaya dan pasukan Islam telah terkepung di mana jiwa Rasul saw telah terancam, mereka justeru mencurahkan darah mereka bagaikan lautan yang menenggelamkan orang-orang kafir dan mereka mampu melindungi sang Rasul saw dan mengubah jalan peperangan serta menyelamatkan akidah tauhid.

Peperangan Uhud bukanlah pengorbanan pertama yang dilakukan oleh kaum Muslim dan bukanlah merupakan peperangan yang terakhir. Ia adalah satu peperangan di antara cukup banyak peperangan yang dilalui oleh Islam untuk menyebarkan kalimat Allah SWT di muka bumi dan membimbing hamba-hamba-Nya. Begitu juga pengorbanan Rasul saw, dan peperangan Uhud bukanlah pengorbanan yang pertama terhadap Islam dan bukan juga yang terakhir. Rasulullah saw telah hidup setelah diutusnya kepada manusia di mana beliau telah memberikan semuanya untuk kehidupan dan untuk dakwah; beliau tidak memiliki dirinya sendiri; beliau tidak memboroskan waktunya dengan sia-sia bahkan beliau beristirahat sedikit saja. Semua kehidupan beliau diberikan kepada dakwah dan untuk Islam. Beliau menjalani berbagai macam peperangan dan beliau memikul berbagai macam penderitaan dan belum lama beliau lari dari suatu masalah kecuali beliau berhadapan dengan masalah yang baru dan lain; belum lama beliau menyelesaikan suatu krisis kecuali beliau menghadapi krisis yang lain. Demikianlah kehidupan Rasulullah di mana beliau selalu memberikan sumbangannya demi kepentingan agama Allah SWT.

Silalah anda hayati kehidupan Rasulullah saw dari apa2 sudut sekalipun dan nescaya anda tidak akan jumpa satu sudut pun di mana tidak ada kecaman dan pergelutan serta dugaan yang hebat untuk beliau hidup di dunia ini menyebarkan syiar Islam.

Sumber: DISINI

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Be Strong To Let Go